"Saya benci jiwa saya!"
Saat dia melafazkan kata-kata begitu, saya sebak. Walaupun dia jauh di seberang lautan sana, saya seakan dapat melihat derai tangisnya saat menulis ayat itu. Dia mengadu dan meminta nasihat daripada saya, melalui perantaraan Facebook chat.
Katanya, dia buntu. Dia tidak mampu mengelakkan dirinya dari melakukan dosa. Dia geram, kerana dia tidak berupaya menghalang dirinya daripada menginginkan perkara-perkara yang tidak elok di sudut pandang agama. Dia juga kecewa. Kecewa dengan dosa yang berulang-ulang. Dia tidak tenang! Sentiasa rasa kosong!
Sedaya upaya, saya akan bantu.
Iman.
Satu perkara yang menarik tentang iman, sifatnya ialah naik dan turun. Iman, terletak di dalam hati. Hati pula, sifatnya ialah berbolak balik. Saya tidak percaya, di dunia ini wujud manusia yang tidak pernah melakukan dosa kerana saya tahu, tiada seorang pun yang maksum.
Tapi, untuk berterusan mengulang-ulang dosa, ia satu perkara yang tidak munasabah.
Tuhan berikan kita akal. Mari kita gunakan ia.
Berikut ialah beberapa cadangan. Mungkin ia efektif bagi setengah orang, tapi tidak bagi setengah yang lain.
Setiap saat, kita berperang dengan keinginan kita yang pelbagai. Satu yang paling kuat mendominasi sempadan iman dan kufur ialah keinginan nafsu. Atas 'biasiswa' daripada syaitan, nafsu menjadi semakin menggila. Makanya, yang akan berlawan dengan nafsu yang ditungangi syaitan itu hanyalah iman. Iman umat ini, sehebat manapun ia, tetap seakan-akan kulit bawang. Nipis. Kita memerlukan 'bantuan luar'
Iaitu, dengan memiliki kawan-kawan yang baik.
"Kawan-kawan saya semuanya baik-baik"
Jika ya, baguslah. Tapi bagaimana pula dengan persekitaran kita?
Bagaimana jika saya katakan, di akhir zaman, Rasulallah telah banyak bercerita akan cabaran hidup masa kini. Dalam sebuah hadis, Baginda menganjurkan kita beruzlah (mengasingkan diri) sekiranya keliling kita, semua manusia yang rakus yang tanpa henti, mahu merobek iman kita yang sedikit cuma ini.
"Sudah hijrah, tapi tetap tak bertemu ketenangan"
Jika itu yang terjadi, saya bimbang ia berkaitan dengan kejahilan kita. Saya tertarik untuk membicarakan 'sebab-sebab' perlu menuntut ilmu kerana sepanjang saya berjalan di muka bumi Tuhan, Dia temukan saya dengan bermacam ragam manusia. Ada yang menuntut ilmu untuk nampak terkenal dan dipuji. Hakikatnya, kita perlu menuntut ilmu untuk diamalkan. Saya akan sebut dalam artikel lain.
"Saya sedang dalam proses itu (belajar ilmu agama), tapi tetap saya tak dapat ketenangan"
Akhirnya, ia kembali kepada pokok pangkal 'tenang' iaitu hati. Saya tertarik dengan sebuah kata-kata daripada Saidina Ali r.a ; "Sekiranya hatimu rosak, jangan bazirkan masamu untuk berdoa agar Allah perbaiki hatimu, sebaliknya berdoalah agar Allah tukarkan hatimu dengan hati yang baru".
Persoalan hati, cukup seni. Saya tertarik juga dengan sebuah hadis berkenaan 'halal, haram, dan syubhah' yang terdapat dalam kitab Hadis 40. "Yang halal itu jelas, yang haram juga jelas. Antara keduanya, ada yang samar-samar (syubhah)..".
Hadis itu masih panjang, tetapi di akhir, "...di dalam dirimu, ada segumpal daging yang jika ia baik, baiklah seluruh tubuh ini. Dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh ini. Ketahuilah, ia adalah hati"- Hadis mutafaqun alaih.
Saya pernah sebutkan di sini, dalam artikel ini. Saya suruh orang tanya, tapi semua orang faham. Baguslah.
Bagini... hati manusia berbolak-balik. Tak percaya? Kita boleh marah saat membaca berita cucu tendang datuk, tapi sesaat kemudian, kita pula yang jadi kurang ajar dengan orang tua kita.
Saidina Umar ra. selalu berdoa, memohon ketetapan hati, kerana dia tahu memang tiada jaminan hati kita akan kekal dalam kebaikan.
Hati banyak dipengaruhi oleh syubhah dan haram. Kerana itu, dalam sebuah lagi hadis riwayat Imam Muslim berkenaan fitnah di akhir zaman (zaman ini), " sesiapa yang mengintai-intai akan fitnah(ujian itu), maka dia akan ditarik masuk ke dalamnya".
Dalam artikel tutu pintu, tindakan kawan saya itu sangat saya sanjung, kerana dia bijak. Dia tidak "mengintai-intai" fitnah (ujian) itu kerana jika dia cuba-cuba dekat, dia tahu dia tidak boleh lari.
Anda juga begitu. Fitnah datang melalui telinga, mata, kaki, tangan, perut dan juga hati.
Telinga- jangan dengar musik-musik yang tidak mendekatkan diri dengan Allah. Mungkin bagi kita, ia tidak ada apa-apa. Sekadar hiburan, tetapi secara halus, ia mencemarkan hati kita.
Mata- jangan tengok benda-benda yang tidak mendekatkan diri kita dengan Allah. Seperti tengok perempuan bertudung. Sekalipun dia tutup aurat, tapi impak pada hati kita sangat sikgnifikan.
Kaki- jangan melangkah ke tempat-tempat yang tidak mendekatkan diri kepada Allah. Seperti ke pasar malam. Sekalipun tujuannya berjalan-jalan, tapi apabila berada di sana, hati kita akan sedikit sebanyak tercemar.
Yang berikutnya pun sama saja (saya malas nak tulis panjang-panjang)
Tukar Hati Yang Baru.
Bagi saya, ia memberi maksud 'taubat'. Apakah itu taubat?
Menurut alim ulama, taubat itu kekesalan. Kekesalan itu pula perlu ditangisi. Nah! Menangislah! Itulah kunci ketenangan. Ini pengalaman saya. Apabila kita menangis mengenangkan dosa-dosa, automatik hati kita akan tekad untuk beramal soleh. Allah akan beri ketenangan. Sungguh... menangis kerana meminta ampun ialah satu pengalaman yang cukup sempurna. Buatlah... (kecuali jika kalian terlalu suci untuk mengaku pernah berdosa)
Tapi ingat, taubat harus disertakan dengan pembaikian diri, contoh; amal soleh. Juga, perlu meminta kemaafan dari orang yang pernah kita zalimi (jika mampu)
Yang terakhir, yang paling ampuh ialah berpuasa sunnat.
Apa signifikannya puasa dengan tenang?
Tenang ialah tanda tiada dosa. Jika sedang berdosa, ketenangan takkan timbul. Untuk melakukan dosa, hakikatnya memerlukan tenaga yang lebih daripada tenaga yang diperlukan untuk melakukan amal kebaikan. Jadi, jika puasa, automatik akan datang rasa malas (nak buat jahat)... dan penat... dan juga apabila kita ingat yang kita sedang berpuasa, serta merta niat jahat akan terkubur. Tak percaya? Cubalah.
Kesimpulan
Ketenangan ialah peranan hati. Maka, mahu atau tidak, kita tetap perlu hidupkan hati kita dengan ayat-ayat Allah dan zikir-zikirnya.
Maaf atas kekurangan artikel ini.
by Iqbal, Bayyinat
No comments:
Post a Comment