HIDUPKAN ISTILAH ‘WANG PEMBAYAR CUKAI’ DALAM MEDIA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Istilah
memainkan peranan penting dalam menyedarkan penggunanya dan pendengar.
Seringkali media melaporkan bantuan atau belanja yang dikeluarkan oleh
kerajaan digambarkan seakan itu adalah harta kerajaan atau orang politik
yang terbabit. Maka bantuan yang disalurkan seakan dari sifat pemurah
kerajaan seperti disebut ‘kerajaan bermurah hati membantu’.
Rakyat seakan bagaikan peminta sedekah. Begitu
juga apabila ada penyelewengan ataupun pembaziran, maka rakyat yang
tidak faham merasakan yang rugi hanyalah kerajaan atau duit orang
politik, sedangkan mereka lupa wang tersebut adalah wang mereka. Maka di
sini disebutkan beberapa perkara;
i. Samada kita sedar atau tidak, setiap rakyat
negara ini membayar cukar kepada kerajaan. Ini merangkumi cukai
pendapatan, cukai langsung dan tidak langsung. Harga barangan yang kita
beli dalam negara ini sebenarnya kita bayar bersama harga cukai. Di
Malaysia kita membeli kereta dengan harga yang tinggi disebabkan faktor
cukai. Begitu juga segala barangan, makanan dan stesyen TV yang dibeli
merangkumi harga cukai. Maka, setiap rakyat kena tahu bahawa mereka
sebenarnya setiap hari membayar cukai kepada kerajaan. Justeru wang
kerajaan adalah wang rakyat.
ii. Maka, wang yang dibelanja oleh mana-mana
kerajaan; samada BN atau PR atau istana-istana dalam negara adalah wang
rakyat yang membayar cukai secara langsung atau tidak langsung, sedar
ataupun tidak sedar. Istilah ‘wang pembayar cukai’ atau taxpayers money, atau harta awam sepatutnya sentiasa dipakai dalam media dan ungkapan rakyat.
Justeru, apabila kerajaan membelanja untuk
sesuatu projek atau menyalurkan harta kepada mana-mana pihak, hendaklah
dilapor atau disebut “kerajaan menggunakan wang pembayar cukai atau harta rakyat untuk projek itu dan ini”. Jika berlaku pembaziran, hendaklah dilapor dan disebutkan “kerajaan telah membazirkan wang pembayar cukai, atau merosakkan harta awam, merugikan wang rakyat”.
iii. Ungkapan ini penting supaya orang-orang
politik sedar bahawa bantuan dan peruntukan yang mereka salurkan kepada
rakyat bukan wang poket mereka, atau harta peribadi mereka sehingga
mereka boleh mendabik dada bangga. Sebaliknya, ia sememang harta rakyat.
Begitulah rakyat, mereka tidak boleh tertipu dengan merasakan
seolah-olah bantuan yang diumumkan oleh orang-orang politik itu dari ‘harta persendirian’ tokoh
politik tersebut, sebaliknya ia memang harta rakyat yang diuruskan oleh
orang-orang politik. Ini boleh mengelakkan perasaan rakyat yang
merasakan mereka bagaikan peminta sedekah kepada kerajaan dan
mengelakkan orang-orang politik lupa diri terhadap wang awam yang mereka
belanja atau isytiharkan dalam kempen politik mereka.
iv. Sesebuah kerajaan BUKAN dipuji kerana
mereka berbelanja dengan wang rakyat atau wang pembayar cukai itu,
tetapi mereka dipuji kerana pengurusan yang cemerlang dan amanah dalam
mengendalikan harta awam atau harta rakyat. Ertinya, jika kerajaan
berjaya mengendalikan harta rakyat dengan cemerlang dan amanah, maka
kerajaan itu dipuji dan disokong, begitu juga sebaliknya.
v. Istilah ‘taxpayers money’, atau ‘taxpayers fund’ atau ‘taxpayers dollar’
sering digunakan dalam media negara maju apabila memperkatakan tentang
pembelanjaan ataupun pembaziran oleh pihak kerajaan. Istilah seperti ini
sebenarnya boleh membantu mengelakkan kecuaian kerajaan dan dalam masa
yang sama boleh menyedarkan rakyat tentang hakikat wang yang digunakan
oleh pihak kerajaan. Istilah ini juga patut dihidupkan dalam negara
kita.
No comments:
Post a Comment